Halaman

Salam Persaudaraan Dunia dan Akhirat.

Iktibar Dari Penciptaan Masa


PENDAHULUAN
Surah Al Baqarah [2] : [255]
.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).
PENGENALAN
Pengurusan Masa – Hanya Empat Golongan yang Mampu Mengurusnya
Sebenarnya penulisan ini bukanlah cara-cara mengenai pengurusan masa, tetapi lebih kepada permulaan sebelum menguruskan masa. Banyak buku-buku, artikel, kursus dan sebagainya menerangkan cara-cara menguruskan masa, teknik-teknik, cara menjadual dan sebagainya. Tetapi mungkin ada yang terlupa asas, atau ciri-ciri seseorang yang mampu melakukan itu semua. Tidak semua orang yang mampu menguruskan masanya hanya dengan buku atau kursus.
Sebaliknya ia memerlukan pemahaman dan mempunyai ciri-ciri tertentu untuk melaksanakannya. Allah yang Maha Agung telah bersumpah bahawa demi masa, semua manusia dalam kerugian kecuali golongan yang dikehendaki-Nya. Maksudnya, tidak kira walau 1001 buku mahupun 1001 kursus kita belajar mengenai masa, belum tentu kita terselamat dari kerugian ini.
Surah Al-´Asr [103] : 1-3
[1]. Demi masa.
[2]. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
[3]. KECUALI orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Imam As-Syafi’I berkata : “Seandainya manusia benar-benar memahami surah ini, nescaya surah ini mencukupi bagi mereka.”

Seperti apa yang telah kita ketahui, masa itu adalah sangat-sangat penting buat manusia, kerana Allah yang Maha Agung telah berfirman sebegitu, Rasul-Nya juga telah berkata sebegitu.
PERBINCANGAN
Maksud masa
Persoalannya, sejauh mana kefahaman kita mengenai masa, sedangkan para saintis juga mempunyai pelbagai pendapat mengenai masa. Umum mengetahui tentang maksud masa, tetapi jika dilihat di dalam Al-Quran kita dapat mengetahui pelbagai lagi contoh mengenai masa, antaranya;
Masa terbahagi kepada lima.
1. Masa yang hanya diketahui oleh Allah yang Maha Agung (Pencipta Masa)
Surah Al-Baqarah [2] : 259
Atau apakah (kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui suatu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya. Dia berkata: "Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?" Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: "Berapakah lamanya kamu tinggal di sini?" Ia menjawab: "Saya tinggal di sini sehari atau setengah hari." Allah berfirman: "Sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya;... (Kisah Nabi Uzair a.s)
Surah Al-Ma´aarij [70] : 4
Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun (berbanding hitungan dunia).
18. Al Kahfi [18] : 19 dan 25
[19]. Dan demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya di antara mereka sendiri. Berkatalah salah seorang di antara mereka: Sudah berapa lamakah kamu berada (disini?)." Mereka menjawab: "Kita berada (disini) sehari atau setengah hari." Berkata (yang lain lagi): "Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini).......
[25]. Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi). (Kisah Ashabul Kahfi)
Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menunjukkan akan kekuasaan Allah yang Maha Agung terhadap penciptaan dan kekuasaan-Nya pada masa.
2. Masa depan (Perkara akan datang, termasuk kejadian di akhirat)
Surah Al-Lahab [111] : 1 dan 3
[1]. Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
[3]. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.
Surah Al-An'aam [6] : 31
Sungguh telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mereka dengan Tuhan; sehingga apabila kiamat datang kepada mereka dengan tiba-tiba, mereka berkata: "Alangkah besarnya penyesalan kami, terhadap kelalaian kami tentang kiamat itu!", sambil mereka memikul dosa-dosa di atas punggungnya. Ingatlah, amat buruklah apa yang mereka pikul itu.
Surah Az-Zumar [39] : 73
Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan dibawa ke dalam syurga berombong-rombongan (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: "Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu. Berbahagialah kamu! maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya."
Menjelaskan perkara akan datang, seperti Abu Lahab yang pasti masuk neraka dan orang lalai juga ke neraka dan sebaliknya bagi orang yang bertakwa akan ke syurga.
3. Masa lampau (Zaman dahulu atau zaman silam ataupun sejarah)
Surah At-Taubah [9] : 70
Belumkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (yaitu) kaum Nuh, 'Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan dan negeri-negeri yang telah musnah? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata, maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
Menerangkan mengenai kisah-kisah terdahulu bagaimana kaum yang ingkar yang telah diazab di dunia dan akan diazab lagi di akhirat kelak sebagai pengajaran kepada umat akan datang.
4. Masa dunia (Perkiraan tahun, waktu, dan sebagainya)
Surah At-Taubah [9] : 36
Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi,.....
Surah Al-Anbiyaa' [21] : 33
Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya.
Begitulah ketetapan Allah yang Maha Agung yang menciptakan satu tahun bersamaan dua belas bulan dan hikmahnya; manusia diberi pengetahuan untuk mengukur masa.
5. Masa kini atau masa yang sedang dilalui oleh manusia (Zaman ini atau zaman umat Nabi Muhammad salallahu’alaihi wasallam (saw))
Surah Al-Baqarah [2] : 143
Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihanagar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu....
Surah Ar-Ruum [30] : 41
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).
Begitulah sedikit pengembaraan atau gambaran mengenai masa yang telah difirmankan oleh Allah yang Maha Agung dalam Al-Quran.
Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, saya mendefinisikan;
‘Masa itu adalah ciptaan Allah yang Maha Agung secara mutlak. [1]. Masa itu mempunyai dimensinya sendiri dari tempoh atau ukuran tertentu hingga ke tempoh atau ukuran tertentu. [2]. Masa juga boleh berubah-ubah dimensi dan kelajuannya mengikut kehendak Allah yang Maha Agung. Walaupun begitu, [3]. manusia hanya diberi pengetahuan dan keupayaan dalam mengukur dan menguruskan masa mereka oleh Allah yang Maha Agung, [4]. tetapi sama sekali tidak diberi kawalan ke atas masa itu’.
Perumpamaannya; kita mampu menggunakan ‘remote control’ seperti ‘rewind-forward-skip’ ketika menonton filem, tetapi kita tidak mampu mengubah jalan ceritanya, segalanya sudah ditentukan.
Empat Golongan yang Mampu Menguruskan Masa
Surah Al-´Asr [103] : 1-3
[1]. Demi masa.
[2]. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
[3]. KECUALI orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
1. Iman (orang-orang yang beriman)
Umum telah mengetahui akan isi rukun iman dan tidak perlu dihuraikan di sini, tetapi perlu kita ketahui maksud iman itu adalah melafazkan kalimah tauhid dengan iktikad di dalam hati serta mengamalkannya kerana tahap keimanan seseorang boleh bertambah dan berkurangan.
Surah Al-Anfaal [8] : 2
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka(kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.
(a). Selain itu, iman juga tidak boleh dicampuradukkan dengan sesuatu yang lain. Tidak boleh menyembah Allah yang Maha Agung disamping menyembah bomoh, duit, ubat-ubatan, orang-orang tertentu atau apa-apa sahaja yang boleh menyebabkan menyekutukan Allah yang Maha Agung.
Malah jika mengatakan ada perkataan yang lebih baik dari firman Allah yang Bijaksana itu juga adalah syirik, kerana menganggap ada sesuatu yang lebih besar, lebih tinggi autoriti dan lebih bijak dari Allah yang Maha Agung. Maha Suci Allah dari apa yang diperkatakan.
Surah Al-An'aam [6] : 82
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.
(b). Orang-orang beriman tidak mempersoalkan dan yakin sepenuh hati apa yang diperintahkan oleh Allah yang Maha Agung melalui Rasul-Nya. Jadi, orang-orang beriman tidak membuang masa mencari kelebihan amal ibadah dan sebagainya. Contohnya, dengan sujud akan mendapat itu-ini dan dengan rukuk pula akan mendapat itu-ini.
Orang-orang yang beriman menuruti perintah Allah yang Maha Agung dengan sifat ta’abuddiyah, iaitu; tidak memerlukan penjelasan akal (rasional) untuk menuruti perintah Allah yang Maha Agung. Bukan menolak penggunaan akal, cuma prinsip pengagungan kepada Allah yang Maha Agung dengan pengagungan yang sebenar telah mula hilang dari hati manusia.
Surah Al-Baqarah [2] : 285
Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali."
(c). Prinsip ‘kami dengar dan kami taat’ sudah mula hilang di hati orang-orang yang mengaku beriman kemudian digantikan, ‘kami dengar, tapi kami fikir dahulu apa rasionalnya”, seperti “apakah kelebihan itu dan apakah kelebihan ini?” Atau “apakah rasionalitinya solat, tentu ada penjelasan sains mengenainya.”
Ini adalah contoh manusia zaman ini, mereka mula mempersoalkan perintah Allah yang Maha Agung dan sibuk dengan fadhilat sehingga melupakan syarat sahnya sesuatu ibadat, iaitu sahnya beribadah adalah mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah yang Maha Tinggi dalam mentaati perintah-Nya dan menepati pula apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw.
Orang-orang yang menyalahgunakan akalnya adalah lebih cenderung gagal dalam pengurusan masa di dunia dan akhirat, manakala orang yang sebaliknya, insyaAllah yang Maha Agung.
2. Amal Soleh (mengerjakan amal soleh)
Surah An-Nahl [16] : 97
Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baikdan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.
(a). Sangat jelas ayat di atas, Allah yang Maha Agung berjanji kepada orang yang beramal soleh akan diberi kehidupan kehidupan di dunia dan balasan baik di akhirat. Tetapi, apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh itu? Apakah yang dikatakan amal soleh? Mengikut tafsir Ibnu Katsir, amal soleh adalah mengikuti Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.
Antara contoh yang berupa amal soleh di dalam Al-Quran dan Hadis adalah menuntut ilmu, solat, puasa, menepati waktu solat (tidak menangguhkan) atau secara umumnya tidak membuang masa dengan melakukan pekerjaan yang sia-sia.
(b). Termasuk juga amal soleh adalah ihsan, padahal mempelajari bab ihsan adalah wajib sebagaimana sebuah hadis sahih yang panjang;
Dari Abu Hurairah r.a : Rasululullah saw bersabda, ......(diringkaskan sebelum itu dimana Malaikat Jibril a.s datang bertanya tentang rukun Iman dan rukun Islam) “(Tanya Jibril), ‘Ya, Rasulullah. Apakah yang dikatakan ihsan?’ Jawab Rasulullah saw, “Hendaklah engkau takut kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekalipun engkau engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.... ” (Diringkaskan, selepas itu ditanya pula mengenai tanda-tanda kiamat). [Sahih Muslim, Hadis Nombor 0003]
Ini bermakna mempelajari ihsan sangat penting kerana ia dikaitkan dengan rukun iman, rukun Islam dan tanda-tanda hari kiamat (sila rujuk keseluruhan hadis). Maksud ihsan adalah perbuatan kita sentiasa dilihat oleh Allah yang Maha Agung. Apa sahaja yang kita lakukan perlu difikir dahulu dan barulah dikatakan mempunyai akhlak yang baik. Contohnya akhlak ketika solat, ketika selisih faham, ketika bertemu kawan-kawan dan sebagainya,kemudian hendaklah kita tetapkan dalam hati sesungguhnya Allah yang Maha Agung melihat apa yang kita kerjakan pada setiap saat dan ketika.
Di Malaysia umumnya pendedahan kepada bab akhlak adalah sangat kurang dan dianggap tidak penting. Kita boleh lihat dari segi subjek matapelajaran dari peringkat rendah hingga ke universiti, amat kurang pendidikan akhlak dan jika adapun, kepentingannya diambil sambil lewa. Dari segi pendidikan agama pula lebih banyak persoalan fiqah, sehinggakan orang yang tidak memahami usul fiqah juga ingin membicarakannya. Itu salah satu contoh orang yang tidak mempelajari akhlak.
Tambahan : Para ahli sufi telah menggelar bab akhlak ini sebagai tasauf kadangkala ada pula yang menyalahi Al-Quran dan Sunnah (bukan semua), contohnya menganggap, seseorang ulama itu adalah sultan para wali atau wali teragung dan lain-lain. Namun jika wujudnya istilah wali agung ini, maka yang sepatutnya mendapat gelaran itu adalah Saidina Abu Bakar r.a dan kemudian para Khulafa ur rasyidin seterusnya. (Anda boleh rujuk Fiqh Tasawwuf [Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah])
(c). Tetapi bukan itu hendak dibincangkan. Saya lebih suka menggelar tasauf itu ihsan, kerana sesuai dengan hadis dari Rasulullah saw dan lebih mudah difahami, kerana Allah yang Maha Agung telah berfirman dan begitu pula sabda Rasul-Nya ‘kebenaran itu sudah jelas dan kebatilan itu juga sudah jelas’, mengapa kita perlu mengaburi?
3. Nasihat mengikuti kebenaran (menasihati supaya mentaati kebenaran)
Surah Faathir [35] : 5 dan 24
[5]. Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.
[24]. Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran (agama tauhid dan hukum-hukumnya) sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umatpun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.
(a). Orang yang menasihati agar mengikut pada kebenaran adalah orang yang membimbing manusia mentauhidkan Allah yang Maha agung dan beramal menurut Al-Quran. Sesuai dengan nasihat dari Luqman;.
Surah Luqman [31] : 13
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."
(b). Selain itu menasihati kebenaran juga adalah berdakwah kepada mengerjakan kebajikan dan menjauhi dosa. Apakah kebajikan dan dosa?
Dari Nawwas bin Sam’an Al-Anshari r.a : Aku pernah bertanya kepada kepada Rasulullah saw tentang erti kebajikan dan dosa. Sabda Nabi saw, “Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal engkau sendiri segan perbuatanmu itu akan diketahui orang lain.” (Sahih Muslim, Hadis Nombor 2183)
Jika diperincikan lagi, budi bermaksud akal atau kebijaksanaan manakala pekerti adalah perangai atau kelakuan. Jadi bolehlah diungkapkan kebajikan adalah perangai dan kelakuan yang dipamerkan dengan kebijaksanaan akalnya.
(c). Maksudnya berdakwah kepada orang dengan bijaksana serta mengajak orang lain mempamerkan tingkah laku atau akhlak yang baik. Tidak ada cara lain yang lebih unggul melainkan dimulakan oleh diri sendiri, iaitu kita sendiri harus mempunyai tingkah laku yang baik dan kemudian akan menjadi ikutan orang lain.
4. Nasihat tetap pada kesabaran (nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran)
Surah Al-Balad [90] : 17- 19
[17]. Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.
[18]. Mereka (orang-orang yang beriman dan saling berpesan itu) adalah golongan kanan.
[19]. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri.
[20]. Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat.
(a). Golongan yang keempat dan yang terakhir adalah orang yang berpesan supaya tetap kepada kesabaran. Mereka adalah golongan yang berpesan supaya bersabar dalam menghadapi kesusahan atau musibah yang melanda, iaitu redha akan takdir Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang samada baik atau buruknya.
(b). Dalam menasihati kesabaran, orang yang berpesan juga harus ada sifat sabar dalam dirinya, seperti sabar dalam mentaati perintah Allah yang Maha Agung, sabar menghadapi kerenah orang yang didakwahkan, sabar dalam menuntut ilmu dan sebagainya.
(c). Sabar dalam melakukan perbuatan keji dan mungkar (dosa), iaitu tidak melakukan perkara yang menyakiti orang lain dan tidak pula berbuat maksiat jika bersendirian, apalagi di hadapan orang lain.
Surah Ar-Ra'd [13] : 22
Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan shalat, dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik)...
PENUTUP
Jadi bolehlah dikatakan bahawa orang yang dapat mengurus masanya dengan baik di dunia dan akhirat secara umumnya, adalah;
[1]. Orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, iaitu bukan munafik, syirik dan kafir.
[2]. Orang yang beramal soleh serta berakhlak mulia.
[3]. Orang yang menasihati dengan kebenaran dan memberi contoh tauladan yang baik melalui dirinya.
[4]. Orang yang bersabar dan menasihati orang lain supaya bersabar dan tidak putus asa dalam mencari keredhaan Allah yang Maha Agung.
Namun perlu diingat sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, berdasarkan firman-Nya;
Surah Al-Baqarah [2] : 286
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.....
Apa yang penting adalah kita jangan berhenti dalam berusaha untuk mendapat keredhaan Allah yang Maha Agung dan berusaha untuk merealisasikan diri menjadi umat pilihan dan yang terbaik (umat Nabi Muhammad saw); sesuai dengan firman Allah yang Maha Agung,
Surah Ali 'Imran [3] : 110
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Tipu Daya Iblis Zaman Ini


PENDAHULUAN
Surah Al Baqarah [2] : [255]
.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).
PENGENALAN
Tipu Daya Iblis Zaman Ini
Pengenalan ringkas antara jin, iblis dan syaitan boleh kita dapati dalam firman Allah yang Maha Tinggi di bawah,
Surah Al Kahfi [18] : 50
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
Di dalam ayat yang lain tentang perkaitan antara iblis dan syaitan,
Surah Al Israa' [17] : 63-64
Allah berfirman (dituju kepada iblis (rujuk ayat 61-62)): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup. 

Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)". Padahal 
tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Secara umumnya dapatlah kita mengetahui berdasarkan ayat Al-Quran di atas bahawa iblis dan syaitan itu adalah dari golongan jin. Perlu diingatkan sekali lagi, iblis itu adalah dari golongon jin, bukan malaikat seperti yang dinyatakan sebilangan kecil orang yang tersalah faham dan kebanyakan orang yang sesat.
Tipu daya iblis itu berbagai-bagai dan dikerahkan penyokong-penyokongnya untuk menyesatkan umat manusia keseluruhannya tanpa mengira keturunan, pangkat, bangsa apatah lagi agama, kerana memang itulah tujuan iblis yang menginginkan kesesatan seluruh manusia.
Dalam Al-Quran, Allah yang Maha Penyayang berfirman tentang keazaman iblis untuk menyesatkan manusia;
Surah Al Hijr [15] : 39
Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku (iblis) akan menyesatkan mereka semuanya...
ISI PERBINCANGAN
Mengenali Bisikan Hati
Iblis melancarkan tipu dayanya melalui bisikan-bisikannya ke dalam hati sanubari manusia. Perlu kita ketahui bahawa bisikan di dalam hati manusia itu ada tiga, iaitu;
1. Bisikan Malaikat : Berdasarkan;
Surah Fushshilat [41] : 30
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham):"Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
Malaikat membisikkan agar manusia berbuat kebaikan, mentaati perintah Allah yang Maha Tinggi dan perkara-perkara yang baik dan terpuji. (Rujukan Tafsir Ibn Katsir, dan Tafsir Al-Munir dalam Surah Al-Nas)
2. Bisikan Diri : Berdasarkan;
Surah Qaaf [50] : 16
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,
Kita berbisik dengan diri kita sendiri dari segi berfikir, citarasa, keinginan samada baik atau buruk dan sebagainya. Dalam satu hadis sahih yang di nukil dari tafsir Ibn Katsir,
Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala memaafkan apa yang dibisikkan oleh hati umatku, selama ia tidak mengatakan atau mengerjakannya.” (Sahih Muslim, dengan lafaz yang sedikit berbeza)
3. Bisikan Iblis atau Syaitan : Berdasarkan,
Surah Al An'aam [6] : 112
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Faktor yang ketiga ini adalah yang hendak dikongsi bersama kerana dengan bisikan inilah membuatkan kaum yahudi sesat, kaum nasrani sesat, umat Islam sesat dan manusia umumnya, akibat kurangnya prihatin akan kebahayaannya.
Cara-Cara Iblis Menyesatkan
Iblis menyesatkan manusia melalui beberapa kaedah yang licik sehingga kita tidak sedar akannya. Penyesatan ini kadangkala mengambil masa yang lama, sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya kita menyangkakan apa yang kita fikirkan adalah benar dan bukannya dari syaitan; antaranya:
Pertama : Memberi nasihat, dan tipu daya ini diakui sendiri oleh syaitan,
Surah Al-A’raaf [7] : 21
Dan ia bersumpah kepada keduanya ((Adam dan Hawa) dengan berkata): "Sesungguhnya aku (syaitan) adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua".
Sekiranya datang iblis kepada kita secara terang-terangan memberi nasihat, mahukah kita mengikutinya? Tentu tidak. Jadi secara halus iblis itu membisikkan tanpa kita sedari, tapi kita boleh mengenalinya; iaitu dengan ilmu.
Antara contoh nasihatnya (iblis) pada zaman ini;
(a). “Tidak solat pun takpe, selagi kita ucap kalimah tauhid pasti masuk syurga,” dan yang semaksud dengannya. Mengikut Imam Syafie dan para ulama salaf lainnya, jika orang yang berkata seperti itu beritikad tidak wajibnya solat, maka hukumnya kufur.
Al Baqarah [2] : 80
...."Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari saja." Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"
Pernahkah kita membuat janji dengan Allah yang Maha Suci, bahawa kita akan masuk syurga? Atau kita cuma mendengar dari perkataan orang lain atau agak-agak sahaja?
(b). “Masa muda adalah masa untuk enjoy, dah tua nanti baru bertaubat, kerana taubat muda-muda nanti buat dosa balik.”
(c). “Jangan sebut pasal mati, tak elok, nanti mulut masin” (yakni meyakini kata-kata seseorang yang boleh menyebabkan kemudaratan dan secara tidak langsung mengingkari takdir).
Itu adalah sebahagian contoh dari nasihat dan hasutan iblis kepada kita.
Kedua : Menjadikan keburukan nampak baik dan sebaliknya.
Dalam Surah Al Hijr [15] : 39 Allah yang Maha Tinggi berfirman,
Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,
Antara contoh-contohnya di zaman ini adalah seperti ada orang yang berkata,
(a). “Walaupun aku tidak menutup aurat, tapi hati aku baik dan mengerjakan solat,” dan yang semaksud dengannya.
Sebenarnya perkara ini melibatkan orang Islam yang lain. Terutama kanak-kanak, mereka belajar dari orang dewasa dan mereka menyangkakan tidak menutup aurat itu adalah ‘perkara yang dibolehkan’ dalam agama.
(b). “Kalau kita solat tak khusyuk tak guna jugak, jadi tak perlu sembahyang kerana kita perlu belajar untuk khusyuk dahulu.”
Al Baqarah [2] : 110
Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahala nya pada sisi Allah. Sesungguhnya Alah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.
Solat itu wajib, dan selepas itu bertawakallah;
Surah Hud [11] : 123
Dan kepunyaan Allah-lah apa yang ghaib di langit dan di bumi dan kepada-Nya-lah dikembalikan urusan-urusan semuanya, maka sembahlah Dia, dan bertawakkallah kepada-Nya. Dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.
Ketiga : Menghalangi jalan yang lurus (jalan kebenaran dan keselamatan dunia dan akhirat).
Berdasarkan Surah Al-A’raaf [7] : 16
Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;
Contoh-contoh di zaman ini dapat kita perhatikan menerusi perkataan syaitan-syaitan dari jenis manusia samada dari orang bukan Islam mahupun orang yang menggelar dirinya ‘orang Islam’.
Surah Al Baqarah [2] : 8
Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
Perkataan orang munafik seperti ini lebih merbahaya kerana perkataan mereka lebih mudah diikuti seperti di dalam;
Surah Al Baqarah [2] : 11
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".
Surah Al Baqarah [2] :14
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
Antara kesesatan yang mereka lakukan dalam perkataan dan perbuatan mereka (nampak seolah-olah benar tetapi menyalahi Al Quran) seperti;
(a). “Semua manusia mempunyai hak masing-masing, jadi manusia bebas mengamalkan cara hidup mereka.”
Antaranya orang Islam yang ingin murtad tidak perlu dihukum, lelaki dan wanita bebas berkahwin dengan pasangan sejenis mereka, orang yang berkahwin dengan orang Islam tidak perlu menukar agama mereka, pembahagian harta (faraid) perlu sama antara laki dan wanita dan banyak lagi kesesatan mereka.
(b). “Semua agama menuju pada keamanan dan kebenaran, jadi semua agama adalah benar.”
Kata-kata mereka secara tidak sedar sebenarnya memperlekehkan Nabi Muhammad saw yang berusaha membebaskan manusia dari penyembahan syaitan. Orang seperti ini, kita perlu katakan kepada mereka,
“Kami tidak mengatakan agama lain itu salah, kami cuma mengatakan Allah yang Maha Agung itu tunggal dan wajib kita menyembahnya. Allah yang Maha Mencipta segala sesuatu dari awal kehidupan sehingga kehidupan akan datang dan akhirnya; segala sesuatu dalam takdirNya.
Al Quran pula diturunkan supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia dan wajib beriman dan beramal dengannya. Nabi Muhammad saw itu pesuruhNya untuk mengajar umat manusia tentang dunia dan akhirat; juga memperjelaskannya berdasarkan wahyu, iaitu Al Quran.”
Al-Ikhlass [112] : 1-4
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".
(c). “Penafsiran orang dahulu (ditujukan pada ulama salaf) terhadap Al Quran dan fekah tidak relevan masa kini, kita hidup zaman moden.”
Sebenarnya kita tidak perlu kebaratan untuk menjadi moden. Perkataan merekalah yang tidak relevan, contohnya apabila antara ahli keluarga mereka mati, mereka juga mahu memandi dan mengafankannya. Kenapa tidak ikut cara moden?
Keempat : Mendatangi dari pelbagai arah.
Surah Al-A’raaf [7] : 17
......"Kemudian aku datangi mereka, dari 
hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
Dari Ali bin Abi Thalhah mengatakan dari Ibnu ‘Abbas r.a yang dinukil dari tafsir Ibnu Katsir, maksud;
(a). Iblis datang dari hadapan adalah, iblis membuat kita ragu akan kehidupan akhirat.
(b). Iblis datang dari belakang pula, iblis akan menjadikan kita cinta kepada dunia.
(c). Iblis datang dari kanan, iaitu iblis menjadikan perkara agama kita menjadi samar. Kita akan meragui yang mana dari agama dan yang mana bersalahan dengan agama. Contohnya pergi ke kubur setiap pagi raya, duduk di kubur, memegang adat lebih dari syariat dan lain-lain.
(d). Iblis datang dari kiri adalah dengan menjadikan kita menjadi hamba hawa nafsu dengan menyukai kemaksiatan.
Kelima : Menakut-nakuti.
‘Ali Imran [3] : 175
Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy),....
Syaitan menanamkan rasa takut dalam perasaan kita bahawa dia (syaitan) dan para pengikutnya termasuk dari kalangan manusia, memiliki kekuatan dan pengaruh.
Kita boleh melihat sekeliling kita. Perhatikan di negara kita sendiri dan di negara luar yang lainnya, betapa umat Islam sekarang dihina, ditindas, diperbudak-budakkan sewenangnya. Kita telah hilang semangat jihad dan rasa kasih sayang sesama Islam.
Mungkin persoalan negara terlalu luas, jadi perhatikan tempat kerja kita, sekolah kita, ekonomi, taraf hidup dan masyarakat kita umumnya, tidakkah anda berasa takut dan gentar pada mereka? Jangan kita berasa takut kerana kita adalah umat pilihan, umat Nabi Muhammad SAW.
Al Baqarah [2] : 143
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.
‘Ali Imran [3] : 175
.....kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
(Mengenai nombor ketiga, keempat dan kelima diulas dengan lebih lanjut dalam artikel yang berlainan bertajuk ‘Kemunculan Tentera Dajjal’)
Keenam : Angan-angan kosong.
Surah An Nisaa' [4] : 119
"Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan...
Iblis membisikkan kita dengan pelbagai perkara yang mulanya bermanfaat kemudian dirosakkan dengan hasutan dengan janjinya ‘inilah perkara yang benar dan lebih baik’, seperti;
(a). Membuat kenduri atau jemputan makan tahlil, kahwin dan sebagainya.
Kemudian dirosakkannya dengan kenduri arwah 40 hari atau 100 hari, dan dalam majlis perkahwinan pula, suami isteri disuruh berpelukan dan diambil gambarnya dan banyak lagi.
Malah ada juga yang tidak mahu beribadat ketika masih hidup, kerana berpendapat dia akan terselamat kerana ahli keluarganya akan membuat kenduri tahlil bila dia mati kelak.
(b). Berikhtiar dalam merawat penyakit atau kesulitan dalam kehidupan.
Kemudian dirosakkannya dengan mempercayai bomoh, tangkal, ramalan (rahsia-rahsia tarikh lahir, rahsia tahi lalat), sihir dan seumpamanya.
(c). Bersolat fardhu dan sunat, kemudian dirosakkannya dengan solat tergesa-gesa dan tanpa tukmaninah (diam sebentar pergerakan sebelum meneruskan gerak solat seterusnya).
Paling menonjol adalah waktu iktidal, ramai yang gagal untuk tukmaninah ketika iktidal ini.
(d). Menyambung silaturrahim atau mempereratkan silaturrahim di facebook dan sejenisnya (blog, myspace dan lain-lain).
Kemudian dirosakkannya dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, gambar membuka aurat, memfitnah, menyeleweng fakta dan kerosakan lainnya.
Ketujuh : Mengubah ciptaan Allah yang Maha Mengetahui.
Surah An Nisaa' [4] : 119
...demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.
Di dalam tafsir Ibnu Katsir, diterangkan dua perkara mengenai ayat ‘mengubah ciptaan Allah’.
(a). Tentang pengubahan rekabentuk makhluk hidup seperti mengembiri binatang, bertatu, mencukur bulu kening untuk kecantikan dan apa-apa yang diubah keaslian ciptaanNya.
(b). Mengubah perintah Allah yang Maha Mengetahui dan sunnah Rasulullah saw, seperti melebihi pendapat orang-orang sekalipun telah mengetahui hadis dari Rasulullah saw.
Contohnya, tingkatan puasa yang dibolehkan adalah puasa selang sehari (puasa Nabi Daud), tapi kita mengingini puasa tiap-tiap hari.
Lainnya, kita berasakan zikir dari Rasulullah saw itu tidak mencukupi, lalu kita tambah-tambah pada zikirnya, akhirnya zikir dari Rasulullah saw itu kita tinggalkan, dan kita mula meniru zikir orang lain kononnya zikir itu lebih hebat dari zikir dari Rasulullah saw.
Malah kita juga tidak tahu makna dari zikir itu. Kita hanya mengikut-ikut sahaja.
Kelapan : Berkata (dusta) terhadap Allah.
Surah Al-Baqarah [2] : 169
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).
Perkara yang keji dan jahat itu sudah kita ketahui tentangnya. Tetapi berkata dusta terhadap Allah yang Maha Tinggi tidak ramai sedar mengenainya.
Syaitan membisikkan pada kita agar,
(a). Takut untuk bercakap tidak tahu dalam soal agama juga soal lainnya, lalu bercakap sesuatu yang tidak kita ketahui (terutama perbincangan kedai kopi). Jadilah umpatan atau fatwa yang menyeleweng.
(b). Mendakwa berlakunya sesuatu musibah itu contohnya gempa bumi berlaku di sesuatu kawasan kerana penduduk di situ banyak berbuat kejahatan. Padahal kuasa Allah yang Maha Perkasa mentakdirkan itu semua.
(c). Seolah-olah mengetahui perkara ghaib atau pasti terhadap perkara yang belum berlaku, seperti,
a.1. meramal bilakah berlaku kiamat,
b.2. para pemotivasi yang menaikkan semangat, kononnya kejayaan kita adalah hasil kerja kuat kita atau apa yang kita lakukan pasti berjaya.
Surah Al Qasas [28] : 78
Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta?.....
(Boleh untuk melakukan itu (memotivasi), tapi jangan sampai menolak takdir dan isikan dengan ayat-ayat Al Quran mengenai bagaimana ciri-ciri orang yang berjaya),
c.3. selepas kahwin pasti mempunyai anak, dan pelbagai lagi.
KESIMPULAN
Ini hanya beberapa antara kesesatan yang iblis bisikkan, tanamkan dalam hati dan fikiran kita untuk menyesatkan. Kesesatan-kesesatan ini kadangkala tidak kita sedari, kadangkala kita sedar, namun terperangkap dalam suasana masyarakat kini.
Bagaimana caranya mengatasi atau melawan tipu daya iblis yang jahat dan licik ini? Antaranya;
(a). Menuntut ilmu. Lengkapkan diri dengan ilmu fardhu ain kemudian baru ilmu-ilmu yang lainnya dan tanamkan sikap benci menjadi jahil.
Surah Thoha [20] : 114
"Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan."
Surah Al Hajj [22] : 54
Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.
(b). Berdoa agar jauh dari kesesatan.
Surah Ali ‘Imran [3] : 8
(Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)."
Surah Ali ‘Imran [3] : 147
Tidak ada doa mereka selain ucapan: "Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
Doa adalah senjata kita yang paling kuat dan sesungguhnya Allah yang Maha Penyayang itu tidak memungkiri janji,
Surah Al Baqarah [2] : 186
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(c). Bersatu hati sesama umat Islam serta berzikir dan sentiasa mengingati Allah yang Maha Penyayang dalam memerangi musuh dari kalangan syaitan jenis manusia dan jin.
Surah Al Anfaal [8] : 45
Hai orang-orang yang beriman. apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.
(Tanda (c) juga diulas lebih lanjut dalam artikel ‘Kemunculan Tentera Dajjal’)
(d). Sentiasa mengingati mati.
Surah Az Zumar [39] : 42
Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya;
maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan.
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda- tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.
Kita tidak tahu ajal kita, jadi buatlah yang terbaik dalam beribadah ketika di dunia ini sementara masih boleh.
Dan (e). Ingatlah bahawa tipu daya syaitan itu sangat lemah. Mereka (syaitan) tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menghasut dan membisikkan sahaja.
Surah An Nisaa' [4] : 76
Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, keranasesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.
Serta ingatlah kita adalah umat terpilih, umat Nabi Muhammad saw.
Surah Ali 'Imran [3] : 139
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.