Halaman

Salam Persaudaraan Dunia dan Akhirat.

Huru-Hara Tanda Hampirnya Kiamat

Malapetaka yang melanda dunia hari ini memberikan satu isyarat kepada kita bahawa usia dunia sudah semakin lanjut ibarat seorang tua yang pernah digambarkan di dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Jika ketika itu usia dunia diumpamakan dengan seorang wanita tua yang sudah bongkok, bagaimanakah pula wanita tua itu di waktu ini?
Fenomena ketidakstabilan alam yang berlaku saban hari waktu ini seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar, peperangan, pembunuhan, kemalangan maut dan kesuburan maksiat semakin menjadi-jadi.
Sebagai contoh banjir kilat yang melanda di tengah-tengah kesibukan kotaraya Kuala Lumpur. Meskipun kecanggihan teknologi yang digunakan didakwa boleh membendung kejadian ini dari berlaku namun kuasa Allah tiada siapa dapat menghalangnya.
Sebagai seorang muslim yang beriman, kacau bilau yang berlaku tidak seharusnya dibiarkan berlalu tanpa sebarang iktibar dan renungan. Mengaitkan apa yang berlaku hanya dengan perubahan cuaca global dan faktor alam semulajadi hanya membutakan iman kita.
Jika diteliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w pastinya terdapat panduan yang boleh memberikan penjelasan mengenai suasana yang berlaku hari ini.
Sabda Rasulullah s.a.w, “Hari kiamat tidak akan berlaku hinggalah harta benda menjadi melimpah ruah kemudian timbulnya bermacam fitnah dan banyaknya berlaku al-Harj. Sahabat bertanya baginda: Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pembunuhan! Pembunuhan! Pembunuhan! Sebanyak tiga kali”. (Riwayat Ibnu Majah)
Perkataan al-Harj jika dilihat di dalam konteks hadis ini ia merangkumi makna yang lebih luas iaitu peperangan, huru-hara dan kacau bilau yang berlaku. Sebabnya semua suasana ini boleh membawa kepada hilangnya rasa selamat dan keamanan hidup manusia. Dalam erti kata lain ia membunuh kesejahteraan hidup manusia.
Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w pernah bersabda, “Barang siapa yang mahu melihat gambaran hari kiamat seolah-olah ia melihat dengan matanya sendiri, maka bacalah (surah-surah): (Apabila matahari digulung) dan (Apabila langit terbelah) dan (Apabila langit berkecai/terbelah)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tarmizi).
Ketiga-tiga ayat yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas ialah surah At-Takwir, Al-Infitar dan Al-Insyiqaq. Di dalam surah Al-Takwir Allah s.w.t menyatakan bahawa pada hari kiamat matahari yang gagah di langit akan digulung, bintang-bintang akan jatuh berguguran, gunung-ganang yang nampak gagah hancur berkecai. Allah juga menyatakan bahawa laut yang luas akan menjadi panas meluap-luap.
Di dalam surah Al-Infitar pula Allah menambah lagi penjelasan tentang fenomena kiamat dengan menyatakan akan terbelah dan terburainya langit kemudian bumi akan memuntahkan apa yang dikandungnya.
Begitu juga di dalam surah Al-Insyiqaq, Allah menjelaskan sekali lagi bahawa langit akan terbelah manakala bumi akan menjadi rata akibat kehancuran gunung-ganang dan bukit-bukau.
Menariknya di dalam ketiga-tiga surah ini dijelaskan bahawa ketika berlakunya suasana kacau bilau ini barulah manusia teringat akan apa yang telah dilakukan dan diabaikan. Di saat itu barulah timbul kesedaran dan keinsafan. Namun semuanya telah terlambat kerana pintu taubat sudah tertutup.
Setiap manusia akan berdepan dengan mahkamah Allah yang tiada langsung peluang untuk menipu dan berbohong. Setiap wajah akan tunduk memandang bumi, menunggu perbicaraan di Mahkamah Allah. Apakah selamat atau sebaliknya?
Membaca ketiga-tiga surah bukan sahaja boleh memberikan ilmu tentang fenomena kiamat malah boleh menimbulkan kegerunan dan ketakutan terhadap situasi dahsyat yang akan berlaku.
Cuba lihat matahari yang gagah di atas langit yang akan bergulung-gulung. Bayangkan pula langit yang kukuh akan terburai dan memuntahkan bintang-bintang hingga gugur ke bumi. Apakah ia tidak menggerunkan kita?
Perkara yang paling menakutkan apabila Allah bertanya: (Apakah yang memperdayakanmu hingga sanggup derhaka (waktu di dunia) kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia). (Al-Infitar: 6).
Ayat ini seolah-olah satu tempelak terhadap manusia yang tidak mahu insaf meskipun peluang diberikan seluas-luasnya ketika hidup di dunia.
Gambaran ketakutan ini dinyatakan oleh Allah dengan menggunakan bahasa kiasan. Firman Allah, Dan apabila unta-unta bunting ditinggalkan. (At-Takwir: 4).
Unta adalah harta paling berharga di tanah Arab pada zaman baginda s.a.w. Unta merupakan kenderaan kelas pertama yang terdapat ketika itu. Apa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah, ketika berlakunya kiamat setiap manusia akan takut dan risau dengan nasib diri sendiri hingga lupa kepada harta benda dan kemewahan yang dimiliki.
Begitulah sebahagian dari gambaran panjang lebar yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. tentang fenomena hari kiamat di dalam ketiga-tiga surah di atas. Bagi seorang yang beriman pencarian tentang bila berlakunya hari kiamat adalah merupakan kerja sia-sia, malah ia boleh membawa kepada kesesatan akidah.
Justeru apabila Nabi s.a.w ditanya oleh Jibril a.s tentang bila berlakunya kiamat, Baginda menjawab: “Yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya. Kerana baginda s.a.w hanya dimaklumkan tentang tanda-tandanya sahaja”. Tarikh berlakunya kiamat hanya menjadi rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.

Pelaku maksiat, hidup tidak tenang



Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya
Manusia dicipta untuk bertarung lawan kejahatan, sabar lakukan kebaikan
MENGAPAKAH al-Quran banyak menyebutkan tentang kisah-kisah pelbagai kaum yang berakhir dengan kehancuran? Ia adalah supaya manusia sentiasa beringat bahawa segala bentuk kejahatan itu adalah warisan kehancuran yang mesti ditinggalkan. Jenayah homoseksual adalah peninggalan kaum Nabi Lut, kesombongan dan kezaliman adalah budaya Firaun, manakala gaya hidup bermegah-megah dan melampau telah dipelopori oleh kaum Nabi Hud. Penolakan terhadap seruan iman pula telah berlaku semenjak diutuskan Nabi Adam AS seterusnya berlanjutan hingga kerasulan Muhammad SAW.
Orang yang berasa dirinya suci kadang-kadang memandang orang lain dengan pandangan hina. Mereka sepatutnya memahami hakikat bahawa tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang terlindung daripada kejahatan dirinya sendiri melainkan Nabi dan Rasul-Nya. Kerana aura kejahatan itu merebak di setiap sudut dan ruang dalam kehidupan sehari-hari. Hanya orang beriman saja yang boleh selamat, iaitu mereka yang memiliki sikap sentiasa berjaga-jaga dan waspada terhadap amal perbuatannya yang mudah dicemari oleh unsur-unsur kejahatan.
Sepertimana sikap Umar bin al-Khattab RA yang amat berhati-hati dengan gangguan kejahatan pada dirinya sendiri. Beliau bertanya kepada seorang sahabat:
Apakah yang dimaksudkan dengan takwa?” Sahabat menjawab: “Pernahkah kamu melewati satu jalan yang dipenuhi duri-duri yang tajam? Pasti kamu akan berhati-hati melaluinya supaya tidak terpijak duri-duri itu. Begitulah keadaan orang yang bertakwa, dia sentiasa beringat dan menjaga dirinya daripada kejahatan dan maksiat yang boleh membahayakan iman.”
Kebaikan dan kejahatan memberi kesan dan pengaruh pada setiap pergerakan manusia. Abdullah bin Abbas pernah berkata:
Kebaikan memiliki cahaya pada wajah dan hati, melapangkan rezeki, menguatkan badan dan disukai setiap makhluk Allah SWT. Sedangkan kejahatan mengakibatkan kegelapan pada wajah dan hati, lemahnya badan, sempitnya rezeki dan kebencian di hati setiap makhluk.”
Kebaikan dan kejahatan ini akan hidup sepanjang hayat manusia dan terkubur bersama jasadnya ketika mati.
Begitulah hakikat diri kita dicipta hanya untuk bertarung melawan kejahatan dan bersabar melakukan kebaikan. Segala sesuatu yang kita lakukan tidak pernah terlepas dari dua kutub yang saling tarik menarik; kejahatan dan kebaikan. Kedua-duanya memberi kesan terhadap perasaan, pemikiran dan pergerakan kita setiap hari.
Apakah kesan maksiat yang dapat dirasa dalam hati dan peribadi?
Kita memerlukan kejujuran untuk menjawabnya. Benarkah kata-kata Ibnu Abbas di atas?
  • Kegelapan di dalam hati
Hati yang suram angkara maksiat tidak mampu menangkap cahaya kebaikan. Apabila maksiat itu telah menjadi darah daging, akibatnya tidak terdetik pun rasa takut melakukan maksiat itu. Hatinya hilang rasa, tidak sensitif dan ragu-ragu lagi melakukan maksiat. Yang paling teruk apabila dia menganggap maksiat itu adalah kebaikan. Atau menilainya sebagai perbuatan yang dimaafkan kerana rahmat Allah Taala. Buta hati! Begitulah keadaan orang yang akhirnya menganggap kejahatan sebagai suatu kebaikan sepertimana dalam firman Allah yang bermaksud:
Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” – (Surah al-Kahfi: Ayat 103-104)
Tetapi seorang hamba Allah yang beriman amat sensitif hatinya terhadap dosa seakan-akan melihat dosa yang ringan ibarat gunung yang akan menghempapnya. Alangkah dahsyatnya kesan melakukan maksiat, tak kira yang ringan dan kecil sekalipun. Kerana dosa besar itu bermula dari melakukan yang kecil. Zina bermula dari pandangan mata dan senyuman, kemudian berkenalan yang melahirkan rindu dan mahu sentiasa bersama. Bermula menyentuh kulit tanpa sengaja akhirnya ingin memegang dan bersatu jiwa dan raga.
Begitu pula penipu kelas jerung sememangnya telah terbiasa melakukan penipuan kelas bilis, sedikit demi sedikit hingga tidak terasa bahangnya dosa dan maksiat yang telah sebati dalam jiwanya. Betapa pentingnya kita menjaga perkara-perkara yang kecil kerana ia boleh membesar secara senyap. Dosa besar bermula dari melakukan dosa kecil. Semua ini menyumbang kepada kegelapan di hati. Bagaimana mungkin rahmat Allah SWT jatuh di hati yang gelap, kotor dan busuk. Melainkan dengan ketentuan-Nya siapapun boleh diselamatkan jika Allah Taala berkehendak.
  • Kegelapan di wajah
Pelaku maksiat sentiasa diikuti bayang-bayang dosa dan rasa bersalah. Hatinya tidak tenang, wajahnya pula menyimpan kesusahan dan kegelisahan. Walaupun di hadapan orang ramai semua itu boleh disembunyikan tetapi dia akan sampai pada tahap tidak boleh menyembunyikan aibnya lagi. Ketika itu Allah Taala telah menyingkap hijab dirinya dan terbukalah segala cacat cela di hadapan manusia. Jika pandangan orang telah menghina dan memburukkan diri kita akibat perbuatan kita sendiri maka kita tidak akan mampu menampakkan keceriaan dan seri pada wajah. Yang tinggal hanya kesedihan, rasa bersalah dan gelisah akibat maksiat yang merendahkah maruah diri sendiri.
  • Sempitnya rezeki dan kebencian orang lain
Ummul Mukminin Aisyah RA pernah menuliskan surat kepada Khalifah Muawiyah RA yang berisi:
Ketahuilah orang-orang yang telah melakukan maksiat kepada Allah, maka orang yang memujinya berbalik akan mencelanya.”
Seorang pemimpin negara seperti Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan RA sentiasa menjadi tumpuan rakyatnya. Oleh itu Aisyah RA berwasiat agar sentiasa sang khalifah menjaga hubungannya dengan Allah Taala dan jangan sekali-kali bermaksiat kepada-Nya kerana perbuatan maksiat itu akan mempengaruhi setiap keputusan sang khalifah dalam mentadbir negara. Seterusnya memberi kesan kepada rakyat, adakah mereka memuji atau membencinya?
Tiada seorangpun manusia yang suka melihat kejahatan berleluasa. Sekecil apapun kejahatan tetap kejahatan dan membawa bala kepada orang lain. Seperti seorang Muslim yang melihat Muslim lain meletakkan keretanya di tepi jalan yang mengganggu jalan kenderaan lain akan merasa benci dengan perbuatan saudaranya itu. Kejahatan bermula dari perkara yang kecil, akhirnya membawa kepada kejahatan lain. Pertengkaran dan buli di atas jalan raya boleh terjadi dan akhirnya menumpahkan darah.
Bagaimana pula orang yang dibenci itu boleh bermuamalat dengan orang lain, sedangkan peniaga yang berakhlak buruk tentulah akan dijauhi. Begitu pula dengan orang yang suka menahan rezeki saudaranya, apatah lagi mendengki, ibarat mahukan milik orang lain, yang di tangan sendiri pasti akan terlepas. Tiada keberkatan dalam rezekinya dan dia kehilangan kasih sayang daripada saudara-saudaranya seiman.
Al-Imam al-Syafie pernah mengeluh dan bersedih menanggung kesan dan akibat maksiat yang beliau rasakan dalam hatinya, beliau mengadu kepada Waki’ (salah seorang guru al-Syafie) dalam untaian syairnya:
Aku mengadu kepada Waki’mengenai buruknya hafalanku; beliau memberi petunjuk kepadaku agar aku meninggalkan maksiat; Beliau berkata: Ketahuilah bahawa ilmu adalah cahaya; sedangkan cahaya Allah tidak mungkin diberikan kepada pelaku maksiat.”

Tiga golongan layak ke syurga



  • Pertama ialah mereka yang menjauhi penyembahan berhala iaitu menjauhkan diri daripada mensyirikkan Allah yang boleh menyebabkan seseorang menjadi murtad dan orang yang mendengar arahan Allah dengan mengikutnya melakukan kebaikan, menjauhi larangan-Nya.
Dengan melakukan kebaikan dan menjauhi larangan Allah, jelaslah mereka itulah orang yang bertakwa. Firman Allah yang bermaksud:
Bagi mereka yang menjauhi penyembahan berhala dan kembali mentaati kepada Allah, tersedia khabar gembira. Beritakanlah khabar gembira itu kepada hamba-Ku yang mahu mendengarkan kata-kata (yang hakikatnya dari Allah) lalu mereka mengikuti kata-kata yang terbaik. Mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.” – (Surah al-Zumar, ayat 17-18)
  • Kedua ialah orang yang beriman dan beramal salih dengan segala suruhan dan menjauhi segala larangannya. Ini dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
Wahai hamba-Ku yang salih, tidak ada rasa takut pada diri kalian di hari ini (hari Kiamat) dan tidak pula kalian rasa sedih. Mereka itulah orang yang beriman kepada tanda kebesaran kami dan mereka yang Islam (menyerah diri kepada Allah).” – (Surah al-Zukhruf, ayat 68-69)
Dalam ayat ini Allah menjelaskan sifat hambanya yang beriman iaitu mereka yang rasa takut pada hari kiamat dan tidak pula berasa sedih untuk meninggalkan dunia kerana mereka adalah orang yang tunduk patuh kepada peraturan Allah di atas muka bumi semasa hayatnya.
  • Ketiga ialah orang Islam. Sesungguhnya syurga itu adalah tempat orang naik saksi bahawa tiada Tuhan berhak disembah melainkan-Nya dan mengakui Nabi Muhammad SAW itu adalah hamba dan utusan-Nya.
Apabila orang yang sudah mengakui syahadah, walaupun sebelum itu mereka berada dalam kekufuran akan dimasukkan Allah dalam syurga-Nya kerana ia adalah tempat kembali bagi orang yang sudah memeluk agama Islam.
Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku. Rahmat-Ku sudah mendahului kemurkaan-Ku. Barang sesiapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, nescaya ia berhak mendapat syurga.” – (Hadis diriwayatkan al-Daimali)
Inilah ciri manusia yang akan menjadi penghuni syurga kelak. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang akan menjejakkan kaki ke sana kerana ia adalah tempat yang tidak ada bandingnya dengan tempat dilihat manusia di atas muka bumi ini.


Pengertian kebajikan dan dosa


Hadith :
Dari Nawwas bin Sam’an al-Anshari r.a katanya: ”Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebajikan dan dosa. Sabda baginda: ”Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah. Sedangkan dosa adalah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal engkau sendiri segan sekiranya perbuatanmu itu diketahui oleh orang lain.”
(Riwayat Muslim)
Huraian :
  • Kebajikan adalah nilai luhur dari kehidupan sedangkan dosa bagaikan titik hitam yang merosakkan pandangan. Namun kadangkala disebabkan nafsu, iman menjadi buta sehingga seseorang itu cinta kepada dosa dan menganggap bahawa segala sesuatu itu adalah wajar belaka.
  • Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa sebagaimana Islam tidak membiarkan manusia berputus asa dari memohon keampunan daripada Allah SWT, biar betapa besar pun dosa yang telah dilakukan itu. Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang maksudnya: “Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan/dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah mereka yang bertaubat (dari kesalahan tersebut).”
  • Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya menanggung dosa, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati sedangkan mati itu tidak mengenal ketika dan usia seseorang. Oleh itu kita dituntut supaya sentiasa beristighfar dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah serta malu untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang sehingga mencemarkan maruah diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berkualiti’kah Istighfar kita?

  KALIMAH “Astaghfirullahal’azhim” sebenarnya tidak ternilai harganya kepada setiap kita, lebih-lebih lagi yang dosanya menggunung. Tapi, lumrah manusia yang cetek iman, istighfar mereka ada naik turunnya. Berfaedahkah ungkapan istighfar kita andai kita masih mengulangi (tetap) melakukan dosa, tak kira dosa kecil atau dosa besar? Bolehkah istighfar seperti itu? Mari kita lihat. 
 PENDAPAT ULAMA’ SULUK Ulama’ suluk (tasawwuf) berbeza pendapat dalam permasalahan ini. Eloklah kita sama-sama fahami pandangan mereka itu, sekaligus dapat membaca di takat manakah pencapaian rohaniah kita tika ini.
 1) Pendapat golongan pertama Istighfar itu memberi manfaat secara mutlak sekalipun langsung tidak ada keazaman dan taubat. 
2) Pendapat golongan kedua Istighfar itu langsung tiada faedahnya sekalipun disertakan dengan taubat.
 3) Pendapat golongan ketiga Mereka mengambil sikap akan memperincikan persoalan ini. Kata mereka: Istighfar yang diungkapkan oleh lisan akan memberi faedah dan manfaat kepada orang yang beristighfar jika… disertakan dengan rintihan yang hangat. disertakan permintaan yang tulus. disertakan sikap merendah diri. disertakan perasaan yang sangat mengharapkan keampunan pada masa hadapan. memohon kepada Allah selayak seorang fakir kepada Tuannya yang Kaya. berasakan diri sebagai makhluk yang lemah kepada Penciptanya yang Maha Gagah. berasakan diri amat kerdil di hadapan Tuhannya yang Maha Besar. Insya Allah, andai perasaan-perasaan tersebut tercetus dan berlaku dalam istighfar seseorang, maka tidak wajarlah istighfarnya itu disia-siakan. ISTIGHFAR YANG AFDAL Banyak sekali ayat al-Quran dan al-hadis menyatakan hujah-hujah yang tuntas dalam menjelaskan permasalahan ini. Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali sendiri berpendapat: “Istighfar dengan lidah juga dikira sebagai kebaikan sekalipun lidah tersebut menuturkannya tanpa sedar. Ia adalah lebih baik daripada percakapan lidah tentang keaiban orang ataupun terlebih cakap.” Apabila cakap sudah terlebih, maka terlebihlah jadinya. Yelah, berapa banyak masa kita yang terbuang begitu saja dengan kata-kata yang sia-sia apalagi kata-kata yang berbaur umpatan terhadap seseorang?
 Hairannya, kita tak pernah rasa risau tentang itu, walaupun tahu mati itu datangnya tiba-tiba. Sayyidina Umar r.a. berkata, “Sesiapa banyak cakapnya, maka banyaklah salahnya. Sesiapa yang banyak salahnya, maka sedikitlah sifat malunya. Sesiapa yang sedikit sifat malunya, maka sedikitlah sifat waraknya dan sesiapa yang sedikit sifat waraknya, maka telah matilah hatinya.” Maka, kelebihan istighfar ini nyata nampak jika dibandingkan dengan duduk diam semata-mata. Namun, jika dibandingkan pula dengan istighfar yang disertai dengan gerak hati, maka kuranglah nilainya kerana istighfar dengan gerak hatilah yang lebih afdhal. As Syeikh Abu Usman Al-Maghribi rahimahullah nyata sependapat dengan Imam al-Ghazali tatkala beliau menjawab satu pertanyaan yang diajukan kepadanya. “Lidahku bergerak dengan zikrullah dan membaca ayat-ayat suci al-Quran sedangkan hatiku lalai, maka bagaimana?” “Bersyukurlah kamu kepada Allah kerana telah menyalurkan anggota-anggota kamu kepada kebaikan, membiasakannya dengan berzikir dan tidak menyalurkannya kepada kejahatan serta membiasakannya dengan percakapan yang berlebihan.” JANJI ALLAH SWT Apa yang kita yakinkan ialah betapa Allah swt sekali-kali tidak akan mensia-siakan sesuatu amalan baik yang dilakukan hamba-Nya kerana itu janji Yang Esa. Firman Allah: “Sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orng yang mengerjakan amalan(nya) dengan baik.” (Al-Kahfi: 30) Firman Allah lagi: “Sesiapa yang melakukan seberat biji sawi kebaikan, nescaya dia akan melihatnya (pada hari akhirat).” (Az-Zalzalah: 7) 
 Berikutnya di dalam surah An-Nisa ayat 40, Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya Allah tidak menganiayai seseorang walaupun sebesar zarah. Dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan dari sisinya pahala yang besar.” Maka, istighfar yang telah kita bincangkan ini ialah suatu amalan dan bukankah amalan itu dikira kebaikan? Manakala hadis yang diriwayat oleh Ibn Abid Dunya dan Al-Baihaqi di dalam kitab Syua’abul Iman dari Ibni Abbas r.a. secara maksudnya: “Orang yang memohon keampunan dari dosa (sedangkan dia tetap melakukannya), dia adalah umpama seorang yang mempermainkan Tuhannya.” Hadis ini berkedudukan daif. Sanad hadis ini sebenarnya tidak sampai kepada Rasulullah s.a.w. secara marfu’ sebaliknya hanya sampai kepada Ibnu Abbas r.a. secara mauquf (hadis yang disandarkan pada Sahabat). Jadi, ia bukanlah sebenarnya hadis Nabawi seperti yang disangkakan oleh umum. Demikian juga kata-kata waliyullah, Rabii’atul Adawiyyah: “Istighfar kita memerlukan kepada istighfar yang banyak.” Pun begitu, janganlah kita menyangkakan yang beliau langsung tidak bersetuju dengan gerakan lidah kerana berzikrullah. Kata-kata beliau itu sebenarnya ditujukan kepada orang-orang yang lalai hatinya di kala beristighfar. Jadi mereka memerlukan istighfar terhadap kelalaian hati mereka, bukannya terhadap gerakan lidah mereka. Walhal, orang yang berdiam diri tanpa menuturkan sebarang istighfar juga sangat memerlukan kepada dua kali istighfar, bukannya sekali. Justeru, permulaan istighfar seseorang hamba sekalipun dengan semata-mata gerakan lidah, janganlah dipandang kecil dan sia-sia.
 Imam Jaafar bin Sadiq pernah berkata: “Allah menyembunyikan tiga perkara dalam tiga perkara - Allah menyembunyikan keredhaan-Nya di dalam ketaatan kepada-Nya, maka janganlah kamu menghinanya, maka boleh jadi keredhaan-Nya terdapat di dalamnya. Allah menyembunyikan kemurkaan-Nya di dalam penderhakaan terhadap-Nya. Maka, janganlah kamu memandang ringan terhadapnya. Boleh jadi kemurkaan terdapat padanya. Allah menyembunyikan wali-wali-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya. Maka janganlah kamu menghina seorang pun dari kalangan hamba-hamba Allah. Boleh jadi wali Allah terdapat di kalangan mereka.” Pun begitu, kita hendaklah berusaha memburu istighfar yang paling tinggi nilai kualitinya di sisi Allah! Wallahu a’alam.