Surah Al-Falaq (سورة الفلق) adalah surah yang tergolong surah Makkiyah selepas Surah Al-Fiil. Surah ini mengandungi lima ayat dan diletakkan dalam susunan surah sebagai surah yang ke 113.
Maksud Ayat
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
1. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk.
2. Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan.
3. Dari bahaya gelap apabila ia masuk.
4. Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan).
5. Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.
Kisah Penurunan Surah Al-Falaq
Seorang Arab Yahudi bernama Labid ibn Asim yang merupakan antara munafiq telah mengenakan Ilmu Hitam (sihir) kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Dia telah mengambil rambut baginda dan membuat sebelas ikatan (simpulan) dan meletakkanya di bawah batu berhampiran telaga bernama Zarwan. Akibatnya, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengalami kekeliruan dan was-was tentang perkara yang telah dilakukan dan belum dilakukan baginda (walaupun ia tidak mempengaruhi ajaran dan sifat kenabian baginda). Maka, malaikat Jibrail turun menghadap baginda dan memberitahu perkara yang sebenar dan menyampaikan dua surah iaitu Surah al-Falaq dan Surah An-Nas. Baginda bersama para sahabat baginda pergi ke telaga tersebut dan mengalihkan simpulan rambut tersebut. Ketika setiap kali surah dibaca, simpulan itu terurai dengan sendirinya dan ketika simpulan yang kesebelas terurai, baginda telah bebas dari pengaruh ilmu hitam tersebut. (Rujukan: Tafsir Ibn Kathir & Ma’arif al-Qur’an)