Solat berjamaah adalah lebih baik dari solat bersendirian dengan 27 darjat.
Dari Ubay bin Ka’b ia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan shalat subuh, selesai shalat beliau bertanya: “Apakah ada yang melihat fulan?” para sahabat terdiam, lalu mereka menjawab, “Ya.” Dan sahabat tersebut tidak hadir. Kemudian beliau bersabda: “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isya’ dan subuh, seandainya mereka mengetahui keutamaan yang ada dalam dua solat tersebut, niscaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak. Saf (barisan) pertama adalah seperti safnya para Malaikat, seandainya kalian mengetahui keutamaannya niscaya kalian akan bersegera menyongsongnya. Sungguh, solatnya seseorang bersama dua orang adalah lebih baik ketimbang dengan satu orang, dan solatnya seseorang dengan seorang adalah lebih baik dari ia solat sendirian, semakin banyak jumlahnya akan lebih dicintai oleh Allah Tabaraka Wa Ta’ala.” (HR Ahmad,)
Solat Berjamaah Satu Tuntutan
Solat berjemaah pada masa kini didalam masyarakat kita hanya dijadikan sebagai upacara sempenaan tertentu sahaja seperti ada majlis-majlis rasmi dan keramaian atau dijadikan acara mingguan dan tahunan sahaja seperti solat jumaat dan hari raya. Persoalaannya kenapa kebanyakkan dari kalangan kita orang Islam memandang remeh hal solat berjamaah serta beranggapan ianya tidak penting ?!
Kepentingan solat lima waktu sememangnya diketahui umum oleh kita semua umat Islam, sehingga ia diletakkan pada kedudukan kedua dalam rukun Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah dan disebut sebagai tiang agama.
Begitupun, keadaan umat Islam pada zaman ini yang sebahagiannya didapati sengaja mencuaikan perintah Allah ini, apatah lagi untuk menunaikannya secara berjemaah, adalah suatu hakikat yang amat menyedihkan hari ini.
Persoalaannya kenapa kebanyakkan dari kalangan kita orang Islam memandang remeh hal solat berjamaah serta beranggapan ianya tidak penting?! Sedangkan lambang kesatuan dan kekuatan umat Islam terletak didalam satu barisan bermula dari solat berjamaah. Firman Allah SWT dalam surah al-Shaff ayat 4 :
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.
Tanggapan bahawa solat berjemaah tidak penting adalah sangkaan yang salah dan bertentangan dengan perintah Allah SWT, sebagaimana firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 43 :
Maksudnya: dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang Yang rukuk.
Maksud suruhan rukuk bersama orang-orang yang rukuk dalam ayat di atas, ialah suruhan supaya solat-solat fardhu itu dilakukan secara berjamaah.
Tuntutan solat fardhu lima waktu secara berjemaah ini adalah sunnah Nabi SAW yang sewajibnya kita sambut dan ikuti bukan hanya menyambut hari kelahiran Baginda SAW setiap tahun sedangkan sunnahnya tidak disambut dan diikuti. Malangnya, apa yang diperintah dan dituntut oleh Rasul tidak diikuti dan diamalkan, malah apa yang tidak diperintah pula yang dilakukan. Inilah yang mengundang musibah dan bala daripada Allah terhadap umat-umat yang terdahulu.
Nabi SAW memberi ancaman yang keras terhadap kaum lelaki yang selalu meninggalkan solat berjemaah dengan sengaja tanpa uzur syarei, sebagaimana sabda baginda SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah RA bermaksud:
“Seberat-berat solat ke atas golongan munafiq ialah solat `Isya’ dan solat Subuh. Jika mereka tahu kelebihan pada kedua-dua solat tersebut, tentu mereka akan menunaikannya (secara berjemaah) walaupun dengan cara merangkak (ke tempat solat).
Sesungguhnya aku berhasrat (disatu masa) memerintah (sahabat-sahabat) menunaikan solat (fardhu secara berjemaah) dengan memerintah seorang lelaki bersolat (menjadi imam) bersama-sama sahabat (yang hadir), kemudian aku akan keluar dengan sekumpulan lelaki bersama seberkas kayu api untuk mencari mereka yang tidak menunaikan solat fardhu (secara berjemaah) maka aku akan bakar rumah-rumah mereka.”
Bertapa penting dan besar kedudukan solat fardhu lima waktu secara berjemaah disisi Islam, sehinggakan ianya diberi kelebihan pahala dua puluh tujuh kali ganda bagi orang yang bersolat secara berjemaah daripada bersolat bersendirian, sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar ra bermaksud: “solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda pahala”
Marilah kita beramai-ramai menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah dimana sahaja kita berada, sama ada di pejabat, di pasaraya, di sekolah, taman rekreasi dan yang paling utama solat berjemaah ini dilakukan di masjid.
Solat berjemaah adalah lambang kekuatan dan keutuhan umat Islam serta cahaya keimanan mereka. Tanda kelemahan kesatuan umat Islam serta malap keimanan mereka adalah bilamana mereka meninggalkan solat secara berjemaah. Diantara perbezaan seorang muslim yang sejati dan munafik adalah pada solat mereka. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 142:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). Apabila mereka hendak berdiri sembahyang, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang sekali).
KELEBIHAN ORANG MENJAGA SOLAT 5 WAKTU SECARA BERJAMAAH
- Diangkat kesusahan dalam kehidupannya.
- Diangkat siksa kuburnya.
- Surat Catatan amalannya diserah kepadanya dengan tangan kanan.
- Melalui Sirat Mustaqim secepat kilat.
- Masuk kedalam Syurga tanpa hisab.
Daripada Abu Darda’ r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”. Riwayat Abu Dawuud dan an-Nasaaiyy.
KELEBIHAN SOLAT JUMAAT
Salam, InsyaAllah saya akan memasukkan kelebihan Jumaat yang mempunyai banyak keberkatan di ruangan ini. t kasih kerana menjadi pembaca setia. Seperti diketahui, hari Jumaat ialah penghulu segala hari bagi umat-umat Islam. Diantara kelebihan jumaat ialah:
- Rasulullah s.a.w. menjelaskan fadhilat hari Jumaat, di antaranya: “Apabila seorang Muslim berdoa dan memohon sesuatu Kebaikan kepada Allah s.w.t. pada hari Jumaat, maka Allah s.w.t. memberikan apa yang dia minta.”
- ‘Abayah bin Rif’ah r.a. mengabarkan bahawa dia bertemu dengan Abu ‘Abbas ketika dia pergi ke Jumaat. Abu ‘Abbas berkata kepadanya bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Siapa berdebu kedua kakinya kerana berjalan di jalan Allah, nescaya diharamkan Allah baginya api neraka.” – Sahih Bukhari