Halaman

Salam Persaudaraan Dunia dan Akhirat.

SOLAT BERJEMAAH



Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.

Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
Fardhu ain pada solat Jumaat;
Fardhu kirayah pada solat fardhu lima waktu; dan
Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.


Tuntutan berjemaah pada solat fardhu:

Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.

Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa, Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.


Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah:

Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda)." (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid. Di sinilah kita dapat menilai diri kita sama ada kita sering ke masjid untuk solat berjemaah atau sebaliknya; atau seminggu setakat sekali sahaja iaitu untuk solat Jumaat.


Ayuhlah, marilah kita beramai-ramai mengunjungi masjid-masjid kita setiap kali kedengaran azan dikumandangkan, kerana laungan tersebut mengajak kita bersegera untuk bersama-sama bersembahyang.
حي على الصلاة
"Marilah Bersembahyang"


Adakah kita bersegera ke masjid atau ke surau, adakah kita terus bersegera menangguhkan kerja yang sedang dilakukan, adakah kita terus bersegera menangguhkan seketika semasa kita sedang mempengerusikan atau sedang bermesyuarat?. Jawapannya ada pada kita sendiri. Kitalah yang mengemudikan jiwa dan raga kita. Janganlah hendaknya masjid atau surau “lengang”disebabkan oleh kita tidak hadir. Penat Bilal-Bilal melaungkan azan! Pernahkah kita berfikir begitu? Kepada saudara-saudara mukmin lebih-lebih lagi yang sudah pernah menjadi tetamu Allah SWT, menunaikan fardhu Haji, jagalah solat, sepertimana kita berada di Makkah atau Madinah. Ingatkah lagi kita solat di awal waktu dan berjemaah? Kita kembali ke tanah air dengan membawa banyak pahala dan ganjaran yang tidak terkira banyaknya, Insyallah. Kita juga telah  mengharapkan Haji yang mabrur, masih ingatkah apa yang diharap-harapkan itu? Jika kita masih meneruskannya ucapkanlah “TAHNIAH” kepada seluruh anggota badan kita kerana terus diberikan “hidayah” oleh Allah SWT. Teruskanlah untuk memimpin diri, keluarga dan kalau boleh saudara-saudara kita yang lain. Ayuh saudara, Ayuh! Tinggalkan urusan dunia buat seketika jika dipanggil untuk bersembahyang.


Marilah kita rebut peluang yang sedang terbuka luas ini selagi hayat dikandung badan, selagi sihat sebelum sakit untuk menimba ganjaran dan pahala yang telah dijanjikan oleh Allah SWT, mudah-mudahan hidup kita di alam akhirat nanti mendapat kemuliaan. Sesungguhnya ibadah yang mula-mula dihisab ialah “SOLAT” kita. 


Kepada semua umat muslimin (Pak-pak Menteri dan wakil-wakil rakyat yang telah mewakili rakyat, Ketua-ketua Jabatan yang telah diamanahkan menjadi ketua di dalam sesebuah organisasi, ayuhlah kita setiap waktu tinggalkan seketika urusan dunia (termasuklah jika sedang bermesyuarat, apatah lagi menjadi Pengerusi Mesyuarat, maka utamakanlah fardhu kifayah itu), kita sama-sama ke masjid-masjid atau ke surau yang berhampiran menyahut seruan Pak BILAL yang setiap kali mengajak bersembahyang. Marilah menjadi CONTOH kepada anak-anak buah bawahan kita dengan meninggalkan perasaan “riak” dan “takabbur”, mudah-mudahan setiap saat kehidupan kita sentiasa diberkati Allah SWT. Ayuhlah kita menjaga solat kita sementara kita sihat, sebelum Malaikat Maut menjemput kita. 


Janganlah sampai ada sebab musabab yang seolah-olah kita menolak atau tidak mahu (barang dijauhkan Allah), tapi dalam masa yang sama kita hanya mencantikkan masjid sahaja tanpa kita sama-sama mengimarahkannya sentiasa. Di sinilah letaknya kekuatan kita, umat Islam, Umat Muhammad SAW. Mudah-mudahan semua mahluk termasuk binatang, gunung, bukit, sungai dan sebagainya tidak menimbulkan kemarahan kepada kita semua. Mari kita fikirkan sejenak kenapa air laut di suatu ketika membaham di beberapa tempat yang disebut  sebagai "SUNAMI" itu?


  

Begitu juga dengan gunung berapi yang memuntahkan lahar panasnya, gempa bumi yang berlaku di sana sini dan berbagai-bagai lagi musibah yang diberikan.


Ini menandakan betapa 'mahluk' Allah SWT itu telah menunjukkan kemarahannya sebagaimana yang telah digerakkan oleh Allah SWT melalui malaikat kerana kealpaan oleh ummat manusia yang disengajakan, kemungkaran yang berleluasa dan berlarutan, begitu juga dengan kerosakan yang dicipta oleh manusia di darat, laut maupun di udara.


Oleh itu marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri bahawa kita merupakan insan yang dilahirkan untuk bersujud kepada Allah SWT setiap masa lebih-lebih lagi di dalam mengerjakan solat berjemaah 5 kali sehari semalam yang perlu dilakukan. Marilah seru dan pastikan keluarga kita sentiasa bersolat dengan secara berjemaah. Jika suami bersolat di rumah, maka suamilah yang mengimamkan solat. Elakanlah daripada bersolat bersendirian. . Kita juga perlu memastikan isteri bersolat bersama anak-anak jika suami bersolat di masjid.  Ayuhlah kita bersolat secara berjamaah setiap kali mendirikan solat lima waktu. Ingatlah akan kematian sebelum Allah SWT menjemput kita melalui Malaikat Izrail a.s.


Wallahua’lam.