Halaman

Salam Persaudaraan Dunia dan Akhirat.

SOLAT BERJEMAAH BAGI WANITA, apakah wajib atau sunat sahaja?


Selalu sangat kita mendengar para ustaz menyatakan bahawa wanita tidak digalakkan ke masjid. Tetapi ada juga di kalangan muslimat yang bertanya tentang apakah logiknya larangan itu. Ini kerana bagi mereka hanya larangan ke masjid yang diperkatakan, tetapi tidak pula dicanang larangan ke tempat-tempat yang lain.



Kalau kita melihat kepada hukum solat berjemaah wanita di masjid, kita akan dapati para ulamak telah menggunakan ‘Ijmak’ (kesepakatan) menyatakan bahawa solat jemaah tidaklah wajib bagi kaum wanita. Ianya juga ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya “Al-Muhalla 4:196”. Kita juga dapati sebahagian daripada mereka memakruhkan kepada wanita untuk ke masjid, terutamanya kepada para pemudi atau anak-anak gadis. Dan alasan yang biasa diberikan adalah kerana bimbangkan akan fitnah. Dan kita juga dapati bahawa mereka telah bersepakat menyatakan bahawa tuntutan solat berjemaah kepada kaum wanita tidaklah sama sebagaimana kepada kaum lelaki. Berkata Imam Nawawi dalam kitabnya “Al-Majmu”, di mana terdapat beberapa perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam hukum solat berjemaah. Antaranya ialah “tuntutannya tidaklah sama seperti tuntutan kepada kaum lelaki”.


Kebanyakan ulama' pula mengaggap bahawa solat di rumah adalah lebih baik bagi kaum wanita berbanding di masjid. Pendapat mereka ini bersesuaian dengan Sabda Nabi SAW yang maksudnya: 

“…dan rumah kediaman mereka adalah lebih baik bagi mereka (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud); 

dan “Solat di kamarmu lebih utama daripada shalat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah);

Hadis tersebut tidak bertentangan dengan hadis yang bermaksud: “Solat di masjidku lebih utama seribu solat dibandingkan dengan solatt di masjid-masjid yang lainnya” (Hadis Riwayat Muslim).


Berkata Syaikh Al-Albani Rahimahullah : “Hadis ini tidak menafikan bahawa solat-solat mereka (para wanita) di rumahnya lebih utama bagi mereka, sebagaimana tidak dinafikannya pula keutamaan solatt sunnah di rumah bagi lelaki dibandingkan jika dilakukan di masjid. Akan tetapi jika lelaki solat fardhu di salah satu masjid yang tiga (Mekah, Madinah dan Aqsha), maka mereka mendapat keutamaan-keutamaan dan kekhususan-kekhususan dibandingkan solat di masjid-masjid lainnya, demikian pula halnya bagi wanita.” (Lihat Jilbab Al Mar’ah Al Muslimah :156)

Walau bagaimana pun, kita juga mendapati bahawa para ulamak telah bersepakat tidak mengharamkan kaum wanita ke masjid. Berkata Al-Imam Ibnul Jauzi: “Harus bagi seorang perempuan untuk keluar ke masjid untuk solat berjemaah bersama kaum lelaki” (Lihat: Ahkamun Nisa', m/s 36, cetakan pertama, Matbaah al-Halabi, Mesir, 1994). Bahkan ada di kalangan mereka yang menganggap bahawa elok juga bagi kaum wanita untuk datang solat berjemaah di masjid. Berkata al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla: “Jika hadir seorang wanita ke masjid untuk bersolat berjemaah bersama kaum lelaki, maka itu adalah satu perkara yang baik” . Bagi mereka hadis yang menyatakan kelebihan solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat tidak boleh dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja. Lihat al-Mufassal Fi Ahkamil Mar'ah, jilid 1, m/s 212.


Sebenarnya tidak ada nas yang jelas melarang wanita ke masjid, bahkan nas yang ada hanyalah menyatakan bahawa solat di rumah adalah lebih baik. Nas ini adalah penutup kepada hadis yang menyatakan bahawa mereka perlu diberikan keizinan untuk ke masjid. Sabda Nabi SAW. Yang maksudnya:"Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid, dan (solat mereka di) rumah-rumah mereka adalah lebih baik". Hadis sohih riwayat Abu Daud, Kitabus Solah, dan (Hadis Riawayat Ibnu Khuzaimah) Nabi SAW bersabda yang maksudnya “Janganlah kamu melarang wanita-wanita kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka”.


Berkata Imam Asy Syaukani rahimahullah ketika menjelaskan lafaz Rumah-rumah mereka lebih utama bagi mereka, maksudnya adalah “Solat-solat mereka (wanita) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka dibandingkan dengan solatnya di masjid. Jika mereka mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar masjid). Akan tetapi kerana mereka tidak mengetahuinya, maka mereka (shahabiyah) meminta izin untuk keluar ke masjid dengan berkeyakinan bahwa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya”(Lihat Nailul Authar 3:131).

Dari riwayat-riwayat di atas, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada shalat di masjid. Walaupun demikian mungkin akan timbul dalam benak kita suatu pertanyaan: “Manakah yang lebih utama, wanita solat di rumahnya dengan berjama’ah atau solat sendiri. Dan apakah solat jama’ahnya akan mendapatkan seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW (yakni lebih utama 27 darjat)?”Mari kita melihat hadits “Solat berjama’ah lebih utama dibandingkan solat sendiri dengan dua puluh lima (dalam riwayat lain dengan dua puluh tujuh) darjat. Apakah hadits itu bersifat umum bagi lelaki dan wanita?”


Syaikh Al Albani memberi komentar kepada hadis ‘Aisyah dan Ummu Salamah رضي الله عنهما yang mengimami para wanita di dalam solat dengan perkataan beliau sebagai berikut : “Atsar-atsar ini baik untuk diamalkan, lebih-lebih jika dihubungkan dengan keumuman sabda Rasulullah bahawa para wanita itu serupa lelaki ‘. Namun penyamaan ini di dalam hal berjama’ah bukan di dalam keutamaan yang dua puluh lima atau dua puluh tujuh darjat.”

Daripada keterangan di atas, maka keutamaan dua puluh lima dan dua puluh tujuh darjat itu khusus untuk solat jama’ah yang dilakukan di masjid, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Hajar ر­مه الله : “Bahkan yang paling jelas adalah bahawa darjat yang disebutkan itu khusus bagi jama’ah di masjid” (Lihat Fathul Bari 2:159). Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang maksudnya: 

“Solat seorang dengan berjama’ah dilipat gandakan ke atas solatnya di rumahnya dan di pasar dengan dua puluh lima kali ganda. Hal ini dia perolehi apabila dia berwudhu lalu menyempurnakan wudhunya kemudian keluar menuju ke masjid. Tidak mengeluarkannya kecuali untuk solat. Maka tidaklah dia melangkah satu langkah, kecuali diangkat baginya satu darjat dan dihapus daripadanya satu kesalahan dan tatkala dia solat para malaikat terus menerus mengucapkan selawat ke atasnya selama dia di tempat solatya dengan doa: ‘Ya Allah, berilah selawat atasnya, rahmatilah dia. Senantiasa salah seorang di antara kita dalam keadaan solat selama menunggu solat” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Dengan demikian maka solat jama’ah wanita di rumahnya tidak termasuk dalam keutamaan itu (dua puluh lima atau dua puluh tujuh darjat), tetapi mereka mempunyai keutamaan tersendiri baik dia sollat di rumahnya dengan berjama’ah atau tidak berjama’ah hal ini lebih utama daripada solatnya di masjid.

Dan terdapat juga kata-kata Siti Aisyah yang seolah-olah menunjukkan bahawa kaum wanita dilarang ke masjid. Aisyah berkata:“Kalaulah Rasulullah SAW melihat apa yang telah dilakukan oleh wanita sekarang (zaman beliau), nescaya baginda akan melarang mereka (ke masjid), sebagaimana telah dilarang perempuan Bani Israil. Riwayat Imam Bukhari. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani: “…. kata-kata Aisyah itu tidaklah mengubahkan hukum (yang sedia ada). Ini kerana beliau menggantungkan (larangan) tadi dengan satu syarat yang tidak wujud, yang hanya berdasarkan sangkaan beliau sahaja. Perkataan beliau:“Kalaulah Rasulullah SAW melihat” boleh (dijawab dengan) dikatakan bahawa baginda tidak melihatnya dan tidak melarangnya. Maka kekallah hukum (yang asal, iaitu tiada larangan). Bahkan Aisyah sendiri tidaklah secara jelas melarang, sekalipun perkataannnya itu menunjukkan bahawa beliau seolah-olah melarangnya. Lagipun Allah SWT telah pun mengetahui apa yang akan dilakukan oleh para wanita, dan Dia tidaklah mewahyukan kepada NabiNya untuk melarang mereka. Kalaulah apa yang mereka lakukan itu memerlukan dilarang mereka ke masjid, maka melarang mereka ke pasar-pasar adalah lebih utama. Lihat Fathul Bari, Kitabul Azan, juz 2, m/s 445.

Kerana itulah mereka juga perlu diberikan keizinan untuk pergi solat berjemaah di masjid, walaupun pada malam hari. Sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar: "Berilah keizinan kepada wanita-wanita kamu untuk ke masjid pada malam hari". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Lihat: Ahkamun Nisa', m/s 39. Kaum wanita di zaman Rasulullah SAW juga menghadiri solat berjemaah di masjid, dan Rasulullah SAW. tidaklah menghalang mereka. Bahkan dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Aisyah menyatakan bahawa kaum muslimat datang berjemaah solat Fardhu Subuh bersama Rasulullah SAW, dan mereka tidaklah dapat dicam kerana hari masih gelap (sekalipun sudah ada cahaya pagi). Isteri-isteri Rasulullah SAW pula, bukan sahaja datang ke masjid, bahkan mereka juga beriktikaf di masjid di bulan Ramadhan. Semua nas ini dengan jelas menunjukkan bahawa wanita harus untuk ke masjid dan kita tidak sepatutnya menghalang mereka.


Oleh itu, kita janganlah hanya melihat kepada hukum solat berjemaah yang ditulis dalam kitab-kitab Fiqh. Ini kerana hukum tersebut hanya untuk hukum datang berjemaah ke masjid. Padahal kita juga perlu melihat bahawa masjidlah tempat penyebaran ilmu dan kefahaman mengenai Islam. Kerana inilah Dr Yusof al-Qardawi berkata: "Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih baik jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Qur'an daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik". Ini kerana kewajiban belajar agama dan mendengar tazkirah bukan tertentu untuk golongan lelaki sahaja. Bahkan terdapat hadis yang khusus yang menyatakan kelebihan belajar di masjid. Sabda Nabi SAW yang maksudnya.: “Sesiapa yang datang ke masjid dan tidak ada tujuan baginya melainkan mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka baginya pahala haji yang sempurna”. Hadis riwayat Tobarani dan al-Albani mengangapnya sohih. Lihat Sohih Targhib wat Tarhib, m/s 38.

Walau bagaimana pun, wanita perlu mendapat keizinan suami atau wali untuk ke masjid. Dan tidak patut bagi seorang ayah atau seorang suami untuk menghalang kecuali ada sebab yang munasabah. Dan mereka juga hendaklah menjaga adab-adab untuk ke masjid. Telah menjadi ijma’ (kesepakatan) para ulama bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mencegah sama sekali para wanita untuk solat berjama’ah di masjid bersama beliau sehingga wafatnya. Demikian pula para Khulafa’ Rasyidin sesudah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda yang maksudnya:

“Apabila salah satu wanita di antara kamu meminta izin ke masjid, maka janganlah kamu cegah mereka”. (HR Bukhari dan Muslim) Dari Ibnu Umarرضي الله عنهما, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda yang maksudnya “Janganlah kamu melarang hamba (para wanita) Allah ke masjid-masjid Allah” (HR. Bukhari).

Menyoroti hadits-hadits di atas, Imam Nawawi ر­مه الله berkata: “Hadis ini dan yang semisalnya (menjelaskan) dengan jelas sekali bahawa wanita tidak dilarang pergi ke masjid. Akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama’ yang mengambilkira daripada hadis-hadis iaitu:

  • Keluar dalam keadaan menutup aurat, berpakaian sopan, tidak memakai baju yang mewah;

  • Tidak memakai wangi-wangian atau bau-bauan, tidak tabarruj (berhias-hias dan bersolek, tidak memakai gelang kaki yang dapat kedengaran bunyinya);

  • Lebih elok dalam keadaan ditemani dengan mahram, suami, atau kawan-kawan dan tidak berikhtilat dengan kaum lelaki dan bukan gadis yang dengannya dapat menimbulkan fitnah.

Namun jika dia belum/tidak mempunyai suami atau tuan, maka diharamkan melarang mereka ke masjid apabila terpenuhi syarat-syarat di atas”. (Lihat Syarh Shahih Muslim 4:382-383).

Solat jamaah (termasuklah solat 5 waktu, hari raya, istisqa’ atau solat gerhana) sunat bagi perempuan dan mengerjakannya di dalam rumah lebih utama daripada di masjid, baik bagi perempuan yang masih muda atau yang sudah tua. Sedangkan mengerjakan di masjid dengan keberadaan makmum laki-laki makruh jika masih muda dan aman dari fitnah, bahkan akan jadi haram jika nyata ada fitnah, tanpa keizinan suami (seperti ketika suami sedang bekerja atau di luar negeri) atau bahkan ada larangan dari suami.

Realiti yang ada, masyarakatnya masa kini sudah jauh berbeza dengan masyarakat di zaman Rasulullah SAW di mana orang laki-laki tidak menjaga pandangannya dari perempuan ajnabiyah, perempuan keluar rumah menampakkan diri dengan riak dan raut wajah, hiasan dan pakaian serba terbuka sehingga tidak terlepas daripada fitnah. Oleh karena itu, Imam Abu Bakar bin Muhammad Al-Huseini dalam kitabnya “Kifayatul Akhyar” menyatakan haram bagi perempuan yang muda untuk keluar solat jemaah, khususnya solat Hari Raya (ied).

Bagi suami, lebih utama melaksanakan solat berjemaah di rumah bersama isteri dan anak-anaknya apabila dikhuatiri jika keluarganya solat sendirian atau kurang perhatian dengan solat berjemaah di masjid. Bagi isteri pula, jika suami berada di luar, maka isteri hendaklah mengerjakan solat berjemaah dengan anak-anaknya selama sianak telah mencapai usia tamyiz (walaupun belum baligh).

SOLAT BERJEMA’AH YANG DIIMAMKAN OLEH WANITA

Apabila kaum wanita melaksanakan solat berjama’ah yang diimami oleh seorang wanita maka sebagian ulama memandang baik, hal ini berdasarkan beberapa riwayat di antaranya riwayat dari Raithah Al Hanafiyah :

أَنَّ عَائِشَةَ أَمـــَّتْهُنَّ وَقَامَتْ بــــَيْنـــَهُنَّ فِيْ صَلاَةٍ مَكْتُوْبــــَةٍ ( رواه الدارقطني(

“Bahawasanya Aisyah pernah mengimami wanita-wanita pada salah satu solat wajib, dan beliau berdiri di antara mereka” (HR. Daraquthni) Diriwayatkan daripada Ummu Salamah رضي الله عنها:

أَنـــَّــهَا أَمَّتْهُنَّ فَقَامَتْ وَسَطًا( رواه عبد الرزاق و البيهقى(

“Bahwasanya beliau (Ummu Salamah, isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) mengimami para wanita; beliau berdiri di tengah (shaf)” (HR. Abdur Razzaq dan Al Baihaqi) Berkata Syeikh Jibrin hafizahullah: “Ada pun solat berjama’ah bagi wanita maka hal tersebut tidak mengapa dan bagi wanita yang memimpin solat tersebut berdiri di shaf ma’mum, namun mereka tidak mendapatkan keutamaan solat berjema’ah sebagaimana yang diperolehi oleh kaum lelaki yang melaksanakan di masjid, dan tidak dibenarkan bagi seorang lelaki untuk meninggalkan solat berjema’ah di masjid dengan alasan akan melaksanakannya secara berjama’ah di rumahnya bersama-sama dengan keluarga atau kaum wanita kerana mendatangi masjid untuk melaksanakan solat fardhu adalah wajib bagi lelaki.” (Lihat Fatawa Islamiyah 1:363)

Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat.

Wallahua'lam